Kecenderungan melakukan sesuatu yang jauh ke hadapan berbanding rakan sebaya ketika belajar mengenai elektrik di tingkatan dua menambah minat Muhammad Amir Ahnaf Mortaza, 17, terhadap bidang kejuruteraan elektrik.
Malah, sejak kecil dia meminati bidang elektrik dan bercita-cita menjadi jurutera elektrik, Amir yang memiliki bakat terpendam mampu mencantum semula mainan yang dirungkai akui sebelum ini tidak banyak yang diketahui mengenai kerjaya jurutera elektrik.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak ini berkata, tidak banyak yang diketahui mengenai kerjaya jurutera elektrik.
"Apa yang saya tahu, jurutera elektrik ialah orang yang menyelenggara komponen elektrik. Dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB), skop kerja jurutera elektrik menyelesaikan masalah mengenai elektrik.
"Bagaimanapun selepas empat hari mengikuti Kursus Kepemimpinan TNB-Enriching Young Talent anjuran Yayasan Tenaga Nasional (YTN), saya lebih tahu peranan jurutera elektrik," katanya.
Amir antara 107 peserta Program TNB-Enriching Young Talent yang juga program kepimpinan pelajar cemerlang bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dari seluruh negara.
Program julung kali ini diadakan di Hotel RHR, Bangi pada 28 Februari lalu dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terutamanya dalam bidang kejuruteraan, sekali gus mempromosi biasiswa tajaan YTN.
Kata Amir, dia bersedia memburu cita-cita menjadi jurutera elektrik, sekali gus berusaha memperoleh biasiswa tajaan YTN.
Bagi pelajar MRSM Tun Dr Ismail, Pontian, Johor, Nur Syafiqah Izreen Salahuddin, 17, pengisian program empat hari itu memberi banyak pendedahan mengenai kerjaya jurutera.
Katanya, lawatan ke Stesen Jana Elektrik Putrajaya misalnya membuka matanya terhadap peranan pegawai TNB yang selama ini tidak diketahui ramai.
"Setiap kali bekalan elektrik di rumah terputus, masyarakat pasti marah dan menyalahkan pegawai TNB.
"Mereka tidak tahu pegawai TNB bertugas menggadai nyawa untuk memberikan sumber elektrik kepada mereka," katanya.
Selain Stesen Jana Elektrik Putrajaya, peserta program turut dibawa melawat Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan TNB Integrated Learning Solution (ILSAS).
Mereka diberi pendedahan haluan kerjaya TNB, taklimat YTN serta perkongsian bekas pelajar tajaan YTN.
Nur Syafiqah juga mengakui sebelum ini tidak didedahkan mengenai YTN. Katanya, apa yang pasti manfaatnya sangat meluas kerana cara pemilihan yang ketat kerana perlu melalui banyak saringan untuk menghadiri kursus.
"Selepas tahu peranan YTN serta perkongsian dan pengalaman bekas pelajar, saya nekad belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh 9A+ bagi melayakkan memperoleh biasiswa YTN, seterusnya melanjutkan pengajiannya di luar negara," katanya.
Kata Nur Syafiqah, dia mahu menjadi tenaga kerja TNB selepas menghabiskan pengajian nanti kerana banyak manfaat ditawarkan syarikat itu bukan saja kepada dirinya, tetapi juga keluarganya kelak.
Sementara itu Pengarah YTN, Datuk Dr Shaari Md Nor berkata, program ini merupakan khidmat sosial masyarakat (CSR) di samping mempromosi biasiswa tajaan YTN untuk menarik minat pelajar cemerlang serta mereka yang mempunyai ciri kepemimpinan untuk memohon biasiswa ini.
Katanya, program ini satu kaedah mempromosi TNB serta menarik minat bakal pemimpin untuk berkhidmat dengan TNB.
"Dengan teknologi serba canggih kini, persaingan semakin sengit dan TNB tidak boleh ketinggalan, sekali gus perlu memperluaskan perniagaan ke peringkat global.
"Dengan program ini kami boleh mencari bakat baru atau pelajar yang mempunyai minat dan daya saing untuk menjadi pelapis bagi menggantikan kepemimpinan TNB yang ada kini," katanya.
Menerusi biasiswa YTN, pelajar boleh memilih belajar di dalam negara dan menyambung pengajian tahun akhir di luar negara atau melanjutkan pelajaran secara terus di luar negara.
Dr Shaari berkata, walaupun pelajar tajaan YTN memilih menyambung pengajian dalam negara pada akhir pengajian kelak, mereka berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara.
"Peluang selama setahun diberikan supaya pelajar memperoleh pengalaman serta berfikiran global.
"Dengan itu, apabila berkhidmat di TNB, mereka boleh menggunakan pengalaman diperoleh, selain boleh berurusan dengan pihak luar untuk menjalankan projek kelak," katanya.
Source: Harian Metro