PROGRAM MOTIVASI i-Success UPSR 2015

PUTRAJAYA – Program Motivasi i-Succes UPSR 2015 merupakan program kali keempat anjuran bersama Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dengan Pusat Pengajian Islam Dan Peradaban (CICU) sebagai salah satu lagi program CSR yang melibatkan sekolah-sekolah yang berdekatan sekitar pejabat YTN. Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Baginda, Sekolah Kebangsaan Sg Merab Luar, Sekolah Kebangsaan Desa Putra, Sekolah Kebangsaan Jalan 6 Bandar Baru Bangi, Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan Kajang, Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim & Asnaf As-Solihin.

Seramai 190 orang pelajar Tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September ini telah menghadiri Program Motivasi i-Success UPSR 2015 pada 01 Ogos 2015 bertempat di Dewan Kuliah COIT, Uniten Putrajaya.

Objektif program ini mendedahkan pelajar-pelajar dengan kemahiran belajar dan kecemerlangan itu wujud dalam diri setiap insan serta kesedaran untuk berjaya dengan usaha yang gigih. Pelajar-pelajar juga akan didedahkan dengan cara menjawab soalan yang betul, tips-tips ketika menjawab soalan dan program motivasi agar mereka mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menghadapi peperiksaan nanti.

 

Program Motivasi i-Success UPSR 2015 dirasmikan majlis penutupnya oleh Dato’ Shaari Md Nor Pengarah Yayasan Tenaga Nasional. Beliau menekankan betapa pentingnya azam dan cita-cita untuk berjaya dalam melakukan sesuatu perkara. Turut hadir, Ustaz Haji Dzulkefli bin Zainal Abidin, Pengarah Pusat Pengajian Islam Dan Peradaban (CICU)) UNITEN.